Friday, January 15, 2010

Langkah Pertama ke sekolah

DETIK sejarah bermula pada bulan ini bagi sebilangan guru-guru permulaan. Buat pertama kalinya mereka melangkah kaki ke bilik darjah sebagai guru yang terlatih. Setelah sekian lama berada di alam ”belajar” kini mereka bertukar pula ke alam ”mengajar dan belajar”.

Taklimat demi taklimat telah diberikan oleh pihak institusi masing-masing termasuk pihak pentadbiran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta pihak pentadbiran sekolah kepada guru-guru permulaan ini tentang tugas, tanggungjawab serta tindakan masing-masing sebagai warga pendidik ke arah mencapai hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sebagai guru permulaan serta guru baru di sekolah yang ditempatkan, seharusnya banyak lagi perkara yang perlu dipelajari sama ada dari aspek pengurusan mahupun aspek pengajaran. Walau bagaimanapun kejayaan kedua-dua aspek ini banyak bergantung kepada keperibadian yang menentukan tindakan ke arah membentuk sikap pada diri seseorang guru.

Guru ialah bidang profesion yang istimewa dan unik kerana proses pengajaran dan pembelajaran bukan hanya berlaku di bilik darjah malah ia menjangkau masa, tempat dan bidang tugas. Pengurusan jadual waktu, pengurusan bilik darjah, pengurusan pendaftaran, pengurusan peperiksaan, pengurusan kokurikulum dan sebagainya yang berkaitan dengan bilik darjah, murid dan sekolah merupakan ruang lingkup tugas guru yang sudah diamalkan sejak dahulu lagi.

Oleh itu sebagai guru permulaan, mereka seharusnya sedar akan tanggunjawab ini tanpa banyak persoalan serta bertindak secara proaktif berlandaskan peraturan yang sedia ada.

• Menerima dan menghayati tugas yang diberikan.

Perkara pertama yang harus dilakukan ialah menerima dan menghayati tugas yang diberikan. Penghayatan perlu dibuat pada prosedur serta tatacara pengendalian atau pelaksanaan sesuatu tugasan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Di samping itu guru permulaan harus juga menawarkan diri membantu tugas-tugas lain terutamanya dalam bidang kokurikulum yang mereka ceburi ketika berada di institusi pendidikan.

• Menyesuai diri dengan budaya sekolah

”Lain padang lain belalang” begitulah perumpaman yang membawa maksud setiap tempat itu mempunyai budaya masing-masing. Sebagai guru permulaan, mereka harus menyesuaikan diri dengan budaya sekolah termasuk keadaan, tempat, cara berinteraksi dengan guru-guru lama serta keseluruhan warga pendidik di sekolah tersebut.

• Mendapat maklumat serta bimbingan

Guru permulaan harus peka dan sentiasa mendapat maklumat tentang pelbagai aspek. Bermula dengan maklumat murid, maklumat yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pusat sumber hinggalah maklumat berkaitan pengurusan pentadbiran seperti takwim sekolah dan sebagainya. Maklumat ini membantu guru dalam proses perancangan pengajaran serta proses peningkatan profesionalisme.

Perlulah diingatkan bahawa guru permulaan ini sentiasa di bawah pengawasan dan pemantauan pihak sekolah, PPD serta JPN. Oleh itu anda seharusnya menunjukkan prestasi yang baik, sentiasa bersikap positif tanpa banyak membuat rungutan serta bersedia membuat transformasi diri ke arah mewujudkan sistem pendidikan yang mantap, berkualiti serta bertaraf dunia.